Pelancaran Laman Web CovidNow Langkah Tepat Negara Beralih Ke Fasa Endemik – Shahril

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Pelancaran laman web CovidNow oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) satu langkah yang tepat dalam persiapan negara beralih ke fasa Covid-19 sebagai endemik, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan

Ujarnya, perkongsian data secara terbuka adalah antara perkara yang diletakkan sebagai KPI 100 Hari KKM dan hari ini data tersebut telah dipaparkan secara terbuka bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Tetapi lebih utama dari itu ialah kualiti dan jenis data yang dipaparkan kali ini lebih terperinci dan sesuai dengan senario semasa.

“Misalnya, bukan sekadar kes jangkitan harian, tetapi penggunaan katil ICU mengikut hospital, berapa ramai kuarantin di pusat kuarantin berbanding rumah, dan berapa ramai memerlukan alat bantuan nafas,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Ujarnya yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Sarawak misalnya, telah pun bersedia untuk beralih ke fasa endemik seperti yang telah disebut oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak beberapa hari lepas.
“Kes harian walaupun masih tinggi, namun kes yang dikategorikan sebagai CAT3-5 rendah dan sistem kesihatan tidak terbeban.

“Semua ini membantu beri gambaran lebih tepat agar walaupun kita masih memerangi Covid di seluruh negara, pembuat dasar dan rakyat lebih mampu melaksana penyesuaian dalam hidupan seharian mereka, sejajar dengan kesedaran bahawa kita akan terpaksa hidup bersama Covid untuk beberapa ketika lagi,” katanya. – _UMNO Online_

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.