Noh, Mohamad Angkat Sumpah Jawatan Menteri, Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin hari ini masing-masing mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berlangsung di Singgahsana Kecil kira-kira 2.35 petang, istiadat itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan Noh dan Mohamad disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Noh, Ahli Parlimen Tanjung Karang tidak menyertai majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri 30 Ogos lepas kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 manakala Mohamad, Ahli Parlimen Kimanis disahkan positif wabak berkenaan ketika itu.

Noh dan Mohamad diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri pada 27 Ogos yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. – BERNAMA