UMNO Tidak Ketandusan Pelapis, Pertandingan Pidato ‘Online’ Serlah Penceramah Berwibawa – Dr Adham

PUTRAJAYA, 10 Sept – Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba melahirkan rasa kagum dengan para peserta yang menyertai pertandingan Pidato Online anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) peringkat negeri berkenaan.

Menurut beliau sambutan yang baik daripada bahagian-bahagian dengan mengetengahkan para peserta daripada bahagian masing-masing memperlihatkan UMNO negeri itu tidak ketandusan penceramah yang berbakat.

“Saya kagum dengan mereka yang menyertai pertandingan secaya maya ini dengan penyediaan hujah-hujah yang cukup baik. Ini menunjukkan petanda serta merupakan petunjuk bahawa Johor tidak kekurangan bakat.

“Pertandingan secara maya ini cukup baik dan ianya merupakan satu norma baharu cara pertandingan. Tahniah kepada seluruh bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sempena majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Online peringkat Negeri Johor di sini,  Khamis malam.

Tambah Dr Adham, bakat-bakat yang ada hari ini perlu sama-sama digembleng dalam usaha memberikan penerangan kepada rakyat di akar umbi dan sebagainya.

“Kita ada perancangan untuk mereka ini secara berterusan dan bukan setakat yang memenangi tempat pertama hingga tempat ketiga sahaja sebaliknya semua peserta yang menyertai akan diasah bakat.

“Kita insya-Allah akan latih dan bentukkan dalam satu kumpulan untuk melahirkan penceramah yang berkaliber dalam usaha menyalurkan maklumat serta penerangan kepada rakyat,” ujarnya.

Untuk pertandingan Pidato Online Negeri Johor, tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Sahmi Faris Mohd Ayub daripada UMNO bahagian Sembrong, tempat kedua Fairus Izwan Jamaludin daripada UMNO bahagian Ledang dan Johan pertandingan milik Norhasrul Akmal daripada Tenggara.

Mereka ini akan mewakili Negeri Johor untuk bertanding di peringkat Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang dijadualkan Oktober ini.

Terdahulu, pertandingan pidato secara online telah selesai diadakan di 13 negeri yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), Negeri dan Bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.