Kerajaan Tawar Tujuh Transformasi Parlimen Dan Pentadbiran Kerajaan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kerajaan Persekutuan hari ini menawarkan tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tawaran itu meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

“Tawaran ini bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan diseimbangkan antara Ahli Parlimen kerajaan serta Ahli Parlimen pembangkang dan setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui bersama.

Ismail Sabri berkata ahli parti pembangkang akan turut dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan, manakala Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara seorang menteri.

Perdana menteri berkata tujuh tawaran berkenaan yang dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri hari ini adalah selaras titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu tentang kepentingan sebuah pentadbiran stabil yang dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan semua pihak ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri menegaskan ia juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Beliau berkata pada masa sama kerajaan komited memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.