Orang Muda Dahaga Peluang Kembali Meraih Pendapatan – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengalu-alukan langkah kerajaan mempercepatkan Bantuan Khas Covid (BKC) namun katanya bantuan tunai semata-mata tidak memadai.

Ujarnya, untuk merancakkan ekonomi, kerajaan mesti tampil dengan idea-idea yang berbeza dari sebelum ini.

“Bantuan kecemasan tunai senjata utama sewaktu pandemik yang dianggap sementara. Tetapi dalam mahu beralih ke fasa endemik, ia bermakna kita mengakui Covid akan bersama kita buat beberapa ketika lamanya lagi.

“Juga bermakna strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh. Sampai bila hendak bergantung hanya kepada tunai dan keluaran KWSP yang jumlah simpanannya pun semakin mengecil. 4.5 juta pencarum KWSP ada kurang RM5 ribu. Selesai selesai iCitra, tidak mustahil lebih sejuta tinggal hampir RM0,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan isu tersebut.
Jelas Shahril, lebih 750 ribu orang menganggur dan kebanyakannya orang muda tidak menolak wang tunai ataupun kampit beras, tetapi mereka lebih mahu peluang kerja dan peluang berniaga.

“Orang muda di Malaysia amat komited serta bersemangat dan pada mereka, tiada ganti kepada konsep menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.

“Ke arah itu, pertama, saya menyambut baik perancangan pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat sepertimana disebut Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Kesihatan baru-baru ini. Perinciannya tentunya perlu diperhalusi tetapi dari segi konsepnya, wajar – ke arah fasa endemik.”

Katanya, sambil merancang pembukaan dan kelonggaran itu, Kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas.
“Saya mengesyorkan sekali lagi skim jaminan pekerjaan atau Job Bank dimana Kerajaan tidak mengharap swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan tetapi dalam jangka pendek dan sederhana Kerajaan beraksi lebih “direct” yakni sediakan dan biayai peluang pekerjaan yang sepatutnya.

“Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksana segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan PBT-PBT seluruh negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.