Loji Tupah Perlu Disegerakan Setelah Sekian Lama Tertangguh – Shaiful Hazizy

MERBOK, 7 Sept – Peruntukan segera RM34 juta oleh kerajaan untuk menaiktaraf loji rawatan air Tupah dilihat mampu memberi manfaat yang cukup besar kepada penduduk setempat setelah tertangguh sekian lama.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata projek berkenaan tertanguh sekian lama setelah berlakunya tragedi 9 Mei 2018 apabila ianya dihentikan oleh kerajaan baharu pada waktu tersebut.

“Terima kasih banyak Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid kerana meluluskan peruntukan segera menaik taraf loji rawatan air Tupah sebanyak RM35 juta. Minta maaf dan ampun saya mohon kepada rakyat Merbok kerana ianya tertangguh sebegitu lama.

“Untuk rekod sebenarnya peruntukan naik taraf loji ini telah pun diluluskan oleh Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sewaktu lawatan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai bersama pakej penggantian paip lama, namun selepas tragedi 9 Mei 2018 Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan proses naik taraf ini atas alasan perbelanjaan yang tidak munasabah.

“Tetapi bagi saya ianya lebih bermotifkan politik, permainan politik ini bukan sahaja melibatkan projek naik taraf Loji Tupah, namun ianya juga melibatkan beberapa loji lain di dalam negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online hari ini.

Tambahnya lagi, dalam sesi makan tengah hari secara peribadi beliau menyampaikan ucapan terima kasih kepada Mahdzir atau mesra dengan panggilan Tok Det sambil bertanya berapa lama proses kelulusan sehingga ke tahap serahan.

“Tok Det menjawab akan ambil masa kerana ianya perlu melalui proses perolehan kerajaan yang sedia ada, saya amat faham tetapi demi rakyat saya mohon beberapa perubahan penambahbaikan dipertimbangkan pihak kerajaan,” katanya lagi.

Antara penambahbaikan tambah Shaiful lagi, mewujudkan sebuah sekretariat khas di peringkat pusat dan negeri untuk melaksanakan penilaian tertentu melepasi birokrasi kebiasaan selain ditetapkan satu garis masa untuk rakyat dan komitmen kuat kerajaan untuk selesaikan projek naik taraf ini dalam tempoh masa tertentu.

“Kerajaan harus cabar diri untuk rakyat, perlu ada aku janji politik yang tinggi untuk melihat masalah rakyat yang tertangguh sebegitu lama ini dinoktahkan. Seterusnya lantik terus kontraktor berwibawa ataupun syarikat berkemampuan tinggi ataupun senaraian bursa tanpa proses tender.

“Bagi saya proses, menamakan kontraktor melalui proses tender akan memakan masa sekurang-kurangnya enam ke lapan. Saya yakin kerajaan mampu buat keputusan untuk lantik kontraktor terbaik bagi memendekkan masa dengan menggunakan peraturan dan tatacara kewangan sedia ada yang ketat dan telus.

“Terima kasih banyak Tok Det, satu permulaan yg baik untuk kabinet ‘Keluarga Malaysia’ walaupun ada beberapa ketidaksempurnaan, ‘deliver result’ kurangkan bercakap, rakyat dah terlalu banyak terluka,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.