Kerajaan Negeri Jalin Kerjasama Strategik Dengan Pembekal Percepatkan Vaksinasi Di Johor

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata bagi mempercepatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk, Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama strategik dengan pembekal untuk menjual bekalan vaksin mereka di Johor.

Menurut beliau Johor Biotechnology and Biodiversity Corporation (J-Biotech) telah dilantik untuk menyelaras bekalan vaksin yang diperoleh menerusi pembelian dan sumbangan pihak-pihak lain kepada negeri Johor.

“Alhamdulillah, Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 dapat diteruskan hari ini selepas terpaksa ditangguhkan minggu lalu. Hari ini saya menjawab beberapa soalan lisan, antaranya tentang jumlah vaksin yang telah diterima dan akan dibeli oleh Kerajaan Negeri.

“Untuk rekod, jumlah vaksin yang telah diterima di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula dari tarikh permulaan vaksinasi, iaitu mulai 1 Mac hingga 5 September lalu adalah sebanyak 4,713,800 dos.

“Kita turut menerima sumbangan 20,000 dan 300,000 dos vaksin, masing-masing daripada kerajaan Singapura dan Emiriah Arab Bersatu. Terima kasih saya ucapkan kepada bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha untuk memudah cara proses penerimaan vaksin tersebut ke Johor,” katanya menerusi Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Ir Hasni lagi, setakat ini J-Biotech telah menjalinkan kerjasama dengan PharmaNiaga menerusi syarikat Seaview Healthtech Sdn Bhd, bagi bekalan vaksin jenis Sinovac dan sebanyak 1 juta dos vaksin akan dibekalkan ke Negeri Johor di bawah inisiatif berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.