Sukarelawan Pemuda UMNO Wira-wira Rakyat Yang Tidak Didendang – Asyraf

KUALA NERUS, 5 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa terharu beliau menyaksikan kesungguhan Pemuda UMNO Negeri Terengganu yang bertungkus-lumus membantu penduduk yang mengalami masalah bekalan air akibat paip pecah sejak 2 Ogos lalu.

Jelas Asyraf mereka membantu secara sukarela tanpa mengenal penat setiap hari membantu penduduk di kawasan Kuala Nerus dan sebahagian Setiu.

“Bangga dan amat terharu saya menyaksikan kesungguhan Pemuda-pemuda cawangan dan Sukarelawan Skuad Sabil di seluruh Kuala Nerus, Setiu dan Terengganu amnya.

“Bukan mudah untuk mengedarkan 66,000 katon air mineral yang diamanahkan oleh Pejabat Perdana Menteri dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada hampir 28,000 rumah dan pada masa sama menyelaraskan sukarelawan untuk menghantar air bersih setiap hari bermula 6 petang dan berakhir larut malam sejak 2 Ogos lalu.

“Sempat saya bertanya kepada Hazrie Awang yang juga Pemuda UMNO Cawangan Taman Perumahan Wakaf Tengah dibawah Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, macam mana dia urus budak-budak muda di kawasannya, katanya setiap hari dia buat jadual untuk pemuda-pemuda bergilir hantar air ke setiap rumah penduduk semuanya secara sukarela malah ada penduduk yang tawar nasi bungkus kepada mereka setelah penat bekerja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Asyraf juga menyifatkan Pemuda UMNO yang membantu misi ini sebagai wira-wira rakyat akar umbi yang tidak didendang.

Malah beliau juga berkesempatan menyertai misi bantuan di beberapa lokasi perumahan untuk memberi semangat moral dan menyatakan penghargaan secara peribadi bagi pihak Pemuda UMNO Malaysia.

“Syabas juga kepada sahabat saya Ketua Pemuda Terengganu Tengku Haphiz, Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus Muhammad Hanafi, Ketua Pemuda UMNO Setiu Ahmad Abaidillah Arifin dan Penguasa Sabil Terengganu Mohd Fadini Rahim atas usaha berterusan menyelaras gerak-kerja Misi Bantuan ini.

“Moga Allah merahmati dan memberkati amal kebajikan mereka semua dan didoakan juga agar krisis air di Kuala Nerus dan sebahagian kawasan di Setiu dapat segera dipulihkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.