PM Harap Pemberian BKC Bermula Esok Ringankan Beban Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pengkreditan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bagi Fasa Satu bermula esok sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Ismail Sabri berkata dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

“BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya.

Pada Rabu, Ismail Sabri berkata beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan bulan lepas dan berikutan itu, telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

Beliau juga berkata kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.myBERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.