Digital Ekonomi: KKMM-Kelantan Kerjasama Wujud Inisiatif Tingkat Potensi Keusahawanan

KOTA BHARU, 5 Sept – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan berkerjasama dengan kerajaan Kelantan untuk mewujudkan satu inisiatif bagi menggalakkan perkembangan digital ekonomi negeri berkenaan, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata usaha tersebut bertujuan memperkembangkan daya keusahawanan penduduk, yang menguruskan perniagaan secara dalam talian sekali gus menambah pendapatan dan meningkatkan produktiviti golongan itu.

Menurutnya, kolaborasi itu akan dilaksanakan antara kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia Bhd (TM), malah perbincangan selanjutnya akan diadakan dalam masa terdekat.

“Perkara ini memerlukan satu rangka tindakan yang teratur untuk membolehkan pembangunan keusahawanan di Kelantan kerana ia terkenal dengan negeri yang mempunyai banyak bakat peniaga dan perusahaan sama ada industri kraf atau domestik lain yang sepatutnya boleh dikembangkan ke pasaran dunia.

“…dan menggunakan sepenuhnya konsep digital ekonomi yang pada masa ini menjadi rebutan semua negara di dunia. Justeru, konsep pembangunan digital ekonomi haruslah direbut Kelantan kerana ia mempunyai potensi dari segi daya keusahawanan yang sedia ada,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Penyelaras KKMM Kelantan, di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu, antaranya membincangkan perkembangan semasa berhubung setiap program di bawah KKMM peringkat negeri Kelantan termasuk Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Annuar berkata fasa satu program JENDELA yang masih giat dijalankan ketika ini, menumpukan kerja-kerja menaik taraf serta meningkatkan capaian jalur lebar di seluruh negeri berkenaan termasuk kawasan perkampungan Orang Asli selari dengan konsep kemudahan Internet adalah hak asasi setiap rakyat.

“Fasa satu JENDELA di Kelantan setakat Ogos ini, membabitkan 24 menara telekomunikasi telah siap dibina, 870 peralatan pemancar 4G telah dinaik taraf dan 21,867 premis atau rumah pengguna telah diliputi sambungan gentian optik.

“Proses ini akan terus berjalan yang melibatkan 67 menara baharu lagi akan dinaik taraf dengan 408 pemancar baharu 4G akan melakukan sambungan gentian optik ke 33,077 premis lagi bermula September ini dan diharapkan siap tahun depan,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata fasa satu bagi program itu juga melibatkan pembinaan 18 jalur lebar satelit di kawasan-kawasan pedalaman Kelantan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa pihak agensi penyiaran dan penerangan seluruh negara berusaha untuk menambah baik penyebaran maklumat mengenai program yang dilaksanakan kerajaan supaya dapat disampaikan lebih tepat dan cepat.

“KKMM percaya ada ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan semua pegawai terlibat bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara untuk melihat semula kepada amalan yang biasa dilakukan untuk mencari jalan dan meningkatkan keberkesanan penerangan dan penyiaran,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.