Syabas Liek Hou, Sumbang Emas Kedua Di Paralimpik Tokyo – PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan syabas kepada jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou, yang telah menyumbangkan emas kedua kepada Keluarga Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini, beliau berkata prestasi dipamer juara dunia enam kali itu adalah amat menakjubkan.

“Pingat emas buat Malaysia! Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata semangat dan kecekalan dipamer atlet paralimpik negara menjadi inspirasi buat seluruh warga Keluarga Malaysia.

Liek Hou, pemain nombor dua dunia, menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama di Sukan Paralimpik, selepas menewaskan pemain Indonesia, Anrimusthi Dheva, 21-17, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), di Yoyogi National Stadium.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini mempunyai dua pingat emas selepas emas pertama dimenangi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Selain itu kontinjen negara juga memperoleh dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept). – BERNAMA