COVID-19: Pesakit Kategori 3 Ada Rekod Komobid Dimasukkan Ke Hospital, PKRC – Khairy

TAMPIN, 4 Sept – Pesakit COVID-19 kategori tiga yang mempunyai rekod komobid akan dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi mendapat rawatan serta pemantauan daripada doktor dan petugas kesihatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bagi kes tertentu seperti melibatkan wanita hamil, warga emas dan keadaan rumah pesakit COVID-19 yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin, golongan tersebut turut diberi keutamaan mendapatkan rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, bagi pesakit COVID-19 dalam kategori sama tiada komobiditi, KKM (Kementerian Kesihatan) masih menyarankan mereka menjalani kuarantin di rumah.

“Saya mahu ingatkan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah perlu sentiasa menggunakan ‘home assessment tool’ dalam MySejahtera dalam usaha menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID),” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya keadaan kesihatan merosot dan sukar bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, pesakit perlu segera menelefon ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital atau PKRC.

Media sebelum ini melaporkan KKM disaran terus memasukkan pesakit COVID-19 kategori tiga ke hospital yang dilengkapi kemudahan ICU dan peralatan penting berbandig membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau memuji usaha proaktif semua pihak serta petugas kesihatan di Negeri Sembilan yang berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini dengan penurunan kes jangkitan COVID-19 serta proses vaksinasi yang berjalan lancar.

“Penggunaan unit rawatan rapi (ICU), alat pernafasan dan katil hospital COVID-19 berada di bawah paras 70 peratus di negeri ini. Dalam tempoh sebulan lepas, pesakit yang telah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 telah menurun daripada 899 kepada 319 individu sahaja.

“Ia merupakan penurunan sebanyak 65 peratus dalam tempoh masa sebulan di samping kes jangkitan harian turut berkurang sekali gus menunjukkan kejayaan awal program imunisasi di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata negeri ini akan menerima 12,000 dos vaksin CanSino secara berperingkat iaitu 2,000 pada 13 Sept dan selebihnya pada 27 Sept untuk penerima di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

Susulan kejayaan negeri itu menurunkan kes jangkitan COVID-19, beliau optimis perubahan yang sama akan berlaku di Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh masa terdekat memandangkan proses vaksinasi di negeri tersebut tinggi namun dibezakan dengan kepadatan penduduk.

Khairy berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa membuka lebih banyak sektor lain tanpa melaksanakan penilaian risiko yang ketat bagi memastikan pembukaan negara ini dijalankan dengan satu pendekatan lebih berhati-hati dan selamat kepada penduduk. – BERNAMA