Pidato Piala Presiden UMNO 2021 Oktober Ini, Kesinambungan Pertandingan Pidato Online PUMAS

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Ibu Pejabat UMNO memaklumkan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 akan diadakan pada Oktober ini dengan hadiah akan disampaikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia adalah kesinambungan daripada pertandingan pidato secara online yang telah selesai diadakan di 13 negeri baru-baru ini yang dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS), Negeri dan Bahagian.

Matlamat pertandingan ini ialah untuk menyediakan pemidato UMNO di pelbagai peringkat umur dengan kepetahan berucap dan kebijaksanaan berpidato serta melawan hujah pembangkang adalah menjadi antara syarat untuk menjadi pemimpin yang baik.

Bagi memastikan pelaksanaannya berlangsung lancar, perbincangan terperinci telah diadakan dengan dihadiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan di Ibu Pejabat parti yang turut disertai Urus Setia dan Jawatan Kuasa Pemidato UMNO.
Seramai tiga peserta terbaik setiap negeri berjaya ke pertandingan akhir menjadikan jumlah peserta peringkat Pidato Piala Presiden UMNO 2021 seramai 39 orang dengan usia antara 19 – 50 tahun yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan.

Pidato Piala Presiden dimulakan pada tahun 2010 ketika Ahmad Maslan menjadi Ketua Penerangan UMNO ketika itu. Ia terhenti untuk beberapa tahun dan disambung semula pada tahun ini. – UMNO Online