Akta Mencegah Lompat Parti Wajar Dibentang Di Parlimen, Elak Permainan ‘Katak Politik’ – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Akta Mencegah Lompat Parti wajar dibentang di Parlimen bagi mengembalikan imej demokrasi negara dan politik yang tercalar teruk akibat permainan ‘katak politik’ yang melompat parti demi habuan dan kepentingan peribadi.

Demikian tegas Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob yang menyokong notis usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini.

Kata Mustapha, Akta Mencegah Lompat Parti juga perlu dibentang di Parlimen sekali gus bagi memelihara kredibiliti dan moral ahli Parlimen yang mengabaikan amanah parti.

“Akta ini akan dapat menjamin amanah pengundi yang memilih seseorang ahli Parlimen untuk mewakili mereka berdasarkan parti yang dianggotai.

“Apa yang paling penting ialah dapat membendung dan menyekat ahli Parlimen melompat daripada parti asal yang mereka menangi dalam pilihan raya kepada parti lain atas apa alasan sekali pun, akta itu juga akan memelihara kredibiliti ahli Parlimen tersebut dan menjaga moral parti dari perlakuan mereka yang tidak bertanggung jawab mengabaikan amanah parti kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perkara paling jelas katanya, melihatkan apa yang berlaku terhadap negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan beberapa kali pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri.

“Jika tiada tindakan diambil terhadap mereka yang melompat parti, ia bukan saja meruntuhkan sistem demokrasi bahkan akan merosakkan pentadbiran dan membantutkan pembangunan negara.

“Daripada pengalaman yang lalu, mereka yang melompat parti itu disebabkan oleh kepentingan peribadi dan bukannya atas alasan kepentingan rakyat serta pengundi,” katanya lagi.

Terdahulu, Azalina memaklumkan beliau telah menghantar suatu notis Usul kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan sebagai langkah selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang sedang diusahakan kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.