Usaha Lahirkan Huffaz Seluruh Negara Wajar Diteruskan Kerajaan Baharu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin usaha murni melahirkan ramai Huffaz di seluruh negara wajar diteruskan oleh kerajaan baharu.

Katanya, usaha ini adalah sebuah usaha rentas politik dan ia lambang tekad Malaysia untuk membentuk masyarakat terbilang.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), pada tahun 2017 kerajaan BN menyasarkan untuk melahirkan 125,000 Huffaz di seluruh negara menjelang tahun 2050.

“Huffaz yang bukan saja mampu menghafal al-Quran, tetapi juga mahir dalam disiplin dan bidang ilmu profesional.

“Tujuan dan objektifnya bagi melahirkan generasi masa depan yang mampu membangunkan negara secara holistik.

“Generasi masa depan yang seimbang, sejahtera, aman, harmoni dan mendapat keberkatan serta pengampunan daripada Allah.”

Bagaimanapun, katanya menerusi laman facebooknya, berita mutakhir sebanyak 64.7 peratus daripada 512 maahad tahfiz di Malaysia didakwa perlu menutup operasi ternyata mengejutkan.

“Kesan buruk akibat pandemik Covid-19 jelas turut dialami oleh pengurusan maahad tahfiz di seluruh negara.

“Sebahagian maahad tahfiz dilaporkan terpaksa memberhentikan kakitangan kerana tidak mampu bayar gaji.

“Kita percaya kemelut penutupan operasi maahad tahfiz ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan.”

Katanya, ini bukan sahaja melibatkan soal kebajikan kakitangan, tetapi jauh lebih penting masa depan para bakal Huffaz profesional kita. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.