PPN: Melaka Beralih Ke Fasa 2, Negeri Sembilan Ke Fasa 3 Mulai 4 Sept

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing akan beralih ke Fasa Dua serta Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peralihan fasa PPN bagi kedua-dua negeri itu dibuat oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut sebulat suara bersetuju untuk ia dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Perdana menteri berkata jawatankuasa khas tersebut akan melibatkan wakil daripada parti pembangkang yang merupakan satu usaha kolektif untuk membabitkan semua pihak berkepentingan.

“Ini bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata mesyuarat turut bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata sebagai permulaan, Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Perdana menteri juga meletakkan keyakinan Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan berikutan kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0 pada hari ini, yang pertama kalinya selepas beberapa bulan.

Berdasarkan unjuran data oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang hujung bulan ini.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober tahun ini sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana menteri turut mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia agar bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku seperti yang diumumkan KKM pada 1 Sept 2021.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.