Penduduk Lembah Klang Perlu Patuhi SOP Dengan Ketat, Masih Ada Yang Belum Divaksin – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap penduduk di Lembah Klang untuk kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekiranya kerajaan menetapkan kawasan tersebut beralih ke Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelas beliau ini kerana rakyat perlu memahami bahawa ancaman COVID-19 masih wujud malah individu yang telah divaksin satu dos mahupun telah lengkap dua dos tetap berisiko dijangkiti wabak ini.

“Jika pun kerajaan bersetuju Lembah Klang beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 PPN bukan bermakna Lembah Klang telah bebas daripada ancaman COVID-19.

“Perlu diingati juga bahawa masih ada yang belum divaksin di Lembah Klang termasuk golongan berusia 17 tahun ke bawah. Keselamatan anak-anak ini perlu diberi perhatian oleh semua terutama ibu bapa.

“Peralihan Fasa PPN di Lembah Klang menjadi tumpuan kerana inilah kawasan paling tinggi mencatatkan kes jangkitan COVID-19 selama ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional itu juga berkongsi data jangkitan harian pada 31 Ogos lalu yang mencatatkan sebanyak 5,399 kes di Lembah Klang dengan kematian seramai 161 orang.

“Justeru, kita berharap penduduk Lembah Klang tetap mengamalkan SOP yang ketat pada setiap masa walaupun telah beralih Fasa PPN.

“Terus berusaha mengurangkan pergerakan dengan sewajarnya untuk perkara yang perlu sahaja kerana Fasa 2 bermakna lebih kelonggaran diberikan.

“Nasihat ini turut terpakai kepada kawasan lain yang telah beralih kepada fasa berikutnya. Slogan ‘Kita Jaga Kita’ jangan sesekali dilupakan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.