Notis Usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen Telah Dihantar Ke YDP Dewan Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan beliau telah menghantar suatu notis Usul kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan semalam.

Jelas Azalina usul RUU yang dicadangkan bertajuk Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang disifatkan beliau selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang sedang diusahakan kerajaan.

“Secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan kerajaan dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang turut merangkumi kerjasama merentas parti.

“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan mekanisme Pemecatan Wakil Rakyat atau “Recall” sebagai kaedah anti-lompat di dalam sidang Parlimen September 2021 ini.

“RUU ini juga akan memberikan kuasa semak dan imbang kepada rakyat terhadap wakil rakyatnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional berharap agar usul ini mendapat persetujuan daripada YDP Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahaskan.

“Jasa baik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen untuk membawa ke depan (fasttrack) seperti mana yang dilakukan untuk RUU 355 pada 2015.

“Saya juga akan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk menerangkan kepentingan dan kelebihan RUU ini dalam memastikan sistem pilihan raya yang lebih adil dan berintegriti terhadap mandat rakyat.

“Semoga agenda reformasi parlimen untuk mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran yang telus akan menjamin kebajikan rakyat dan masa depan negara,” ujar beliau. – UMNO Online