ATM Dirikan Hospital Medan Di Lima Negeri Terjejas Teruk COVID-19 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mendirikan Hospital Medan di lima negeri yang dikenal pasti berdepan penularan jangkitan harian COVID-19 yang tinggi ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lima negeri berkenaan ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Beliau berkata usaha bagi mengurus dan meredakan situasi di kesemua negeri berkenaan sudah tentunya akan menjadi keutamaan ATM.

“Saya telah menjelaskan semalam, antara perkara paling penting bagi ATM ketika ini ialah memenuhi agenda nasional terutama memerangi COVID-19.

“ATM sememangnya mempunyai infrastruktur, aset serta kepakaran yang mencukupi dan sedia diatur gerak pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang media khas Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata pembinaan Hospital Medan berkenaan adalah untuk membantu memberikan rawatan kepada pesakit COVID-19 khususnya pesakit tahap tiga ke atas dan percaya bantuan ATM itu berupaya mengurangkan beban Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri-negeri terbabit.

“Selain itu, ia mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) semalam bahawa antara keutamaan sekarang ialah untuk meningkatkan bekalan dan mempercepatkan pemberian vaksin di lima negeri berkenaan,” katanya.

Hishammuddin juga berkata selain membantu menyediakan pasukan vaksinasi di lima negeri itu khasnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai oleh pihak KKM, ATM juga akan memberi bantuan sewajarnya kepada negeri-negeri lain bagi menjayakan usaha memerangi COVID-19.

“Ini termasuklah meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam seperti yang ditetapkan oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini. ATM kini hanya menunggu pengesahan lokasi oleh pihak Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk diaturgerakkan,” katanya.

Menjelaskan mengenai penglibatan aset ATM dalam pembinaan Hospital Medan, Hishammuddin berkata beliau percaya ATM tidak mempunyai masalah dalam perkara ini kerana ia sememangnya mampu dilaksanakan oleh ATM.

“Saya percaya kita boleh laksanakannya, insya-Allah dengan kerjasama semua pihak yang berkepentingan untuk memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Ditanya sama ada kehadiran ATM di kawasan pedalaman akan mencetuskan kebimbangan kepada orang awam, Hishammuddin berkata orang awam tidak perlu bimbang kerana kehadiran mereka adalah untuk membantu menguruskan agenda nasional memerangi COVID-19.

“Ketika ini kita tidak berperang dengan sesiapa pun, kita sedang ‘berperang’ dengan virus COVID-19 ini, maka mereka (orang yang berada di kawasan pedalaman) tidak perlu risau dengan kehadiran ATM,” katanya.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata pembinaan Hospital Medan di beberapa negeri yang terjejas ini adalah keperluan berdasarkan permintaan daripada KKM.

“ATM hanya bersedia dan kami akan laksanakannya (bina Hospital Medan) malah hospital berkenaan akan siap dibina sekitar satu atau dua minggu lagi,” katanya. – BERNAMA 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.