Pidato Online Suntikan Baharu Jentera Penerangan – Shahril
KUALA LUMPUR, 1 Sept – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata Pertandingan Pidato Online yang berakhir di Johor Selasa malam secara keseluruhannya mengujakan banyak pihak.
Menurut beliau memandangkan ianya salah satu kaedah baru yang diperkenalkan, rata-rata mereka yang terlibat dan menyertainya teruja dengan pendekatan tersebut yang sekaligus bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu malah mengasah bakat lama yang terpendam.
“Alhamdulillah semalam tamat Pidato Online negeri-negeri di mana Johor menjadi negeri terakhir menyelesaikan pertandingan mereka. Kita akan buat satu post mortem yang lebih rapi tetapi secara keseluruhannya sebelum post mortem dibuat, kita nampak pertandingan ini amat mengujakan banyak pihak kerana ianya satu kaedah baru… tidak pernah dalam sejarah UMNO dibuat pidato online.
“Kedua sebenarnya dalam UMNO ini dah ramai yang nak ceramah… tetapi disebabkan PKP hampir dua tahun banyak hasrat mereka tidak kesampaian maka dengan pidato online ini kita dapat mencungkil bakat-bakat yang lama dah terpendam dan kita dapat hidupkan semula mereka yang lebih berpengalaman menggunakan saluran digital.
“Semua ini menjadi satu suntikan kepada persiapan pihak penerangan UMNO Malaysia untuk memastikan bahawa apabila pilihan raya itu diadakan persiapkan segala gerak kerja kita,” katanya.
Terdahulu beliau bersama barisan kepimpinan UMNO Jerai serta Merbok melawat mangsa yang terlibat dengan bajir lumpur yang melanda kawasan berkenaan minggu lalu.
Shahril seterusnya menambah pidato semata-mata tidak cukup untuk memenangi pilihan raya tetapi ianya menjadi satu produk yang mesti disusun dengan rapi serta diperbaiki disamping perkara lain yang perlu dilaksanakan.
“Penyusunan naratif, hujah-hujah dan sebagainya dan saya fikir ini permulaan yang baik sebab ianya merupakan langkah pertama dalam persiapan PRU hakiki yang jelas. Sebelum ini kita buat memanglah untuk persiapkan PRU tetapi tidak jelas. Yang ini biro penerangan antara yang awal untuk buat satu program yang memang matlamat dan tujuannya disebut secara terbuka ready untuk PRU,” ujarnya.- UMNO Online