Kerajaan Baharu Pimpinan UMNO Mudahkan Pelbagai Tugasan, Lebih Tersusun – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Adham Baba yakin dengan kerajaan baharu yang diterajui pemimpin UMNO iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dapat memudahkan pelbagai tugasan dengan lebih tersusun.

Beliau yang telah dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengakui bahawa sepanjang dua minggu lepas adalah waktu kritikal dalam politik negara.

“Dalam waktu kritikal iaitu dua minggu lepas banyak yang perlu ditumpukan khususnya untuk pastikan kerajaan kita dipimpin oleh pemimpin UMNO dan itu adalah tugas yang paling penting. Saya lihat apabila kejayaan itu telah tercapai kita dengan mudah akan dapat laksanakan program-program lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan secara maya sempena Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Pidato Online peringkat Negeri Johor, malam tadi.

Ujarnya, dalam dunia sains dan teknologi sekarang ini, aplikasi media maya adalah norma baharu yang perlu diterapkan.

“UMNO perlu melaksanakan kesiapsiagaan dalam semua era sama ada globalisasi, teknologi atau sebagainya kerana ia penting dalam mengadaptasi, mengasimilasi atau menyeragamkan perkembangan tersebut demi kepentingan semasa.

“Pertandingan pidato secara ‘online’ juga adalah platform yang baik untuk menonjolkan bakat dan mengasah semangat dari peringkat bahagian apatah lagi pidato adalah proses yang penting dalam mematangkan jati diri, perlu pemikiran luar kotak, perlu kerja lebih untuk meyakinkan khalayak dan dalam pentas politik perlunya meyakinkan pengundi untuk mempercayai apa yang dihujahkan.”

Dalam pengaplikasian teknologi semasa, beliau mengambil contoh bagaimana kejayaan Barisan Nasional (BN)/UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Saya ungkap kembali PRK di Tanjung Piai, semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) dalam menggunakan group WhatsApp, Facebook dan semua teknologi semasa yang hasilnya penyampaian maklumat dapat dilakukan sangat pantas, hinggakan kita bukan hanya berjaya mencapai kemenangan tetapi juga menokok undi kepada BN/UMNO.”

Apa yang penting katanya adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyediakan platform dalam talian kepada semua pihak.

Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan agar diwujudkan pertandingan berkaitan TED Talks.

“Tahun depan Penerangan UMNO Johor dan Penerangan UMNO Malaysia boleh melaksanakan pertandingan dalam talian iaitu TED Talks yang popular di kalangan pemikir dan cendekiawan di kalangan negara maju sebagai pendekatan baharu untuk memujuk. Ia adalah gabungan ‘Technology, Entertainment and Design’ dalam menyampaikan mesej yang digabungkan dengan dan media intertaktif untuk menarik sasaran.

“Gen-X dan Gen-Y perlu dipujuk untuk memikirkan negara bangsa, mewujudkan penggemblengan serta dorongan positif ke arah masa hadapan dan UMNO perlu menguasainya.”

Dalam hal ini, Dr Adham merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuklah Penerangan UMNO Johor dan UMNO Malaysia kerana begitu komited dan terlibat dalam pertandingan pidato walaupun dibuat secara ‘online’.

“Saya berbangga peserta dari Johor ramai yang muda-muda dan setanding dengan golongan senior malah ini diangap platform terbaik untuk persediaan dalam PRU (Pilihan Raya Umum), namun yang penting adalah pengisian apa yang hendak disampaikan,” katanya lagi.

Pertandingan Pidato Online ini diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021 dan terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing.

Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.