‘DNA’ UMNO Sentiasa Bantu Rakyat Dalam Apa Jua Keadaan

JERAI, 1 Sept – Penduduk yang terlibat dengan bencana banjir kepala air Gunung Jerai baru-baru ini perlu terus dibantu dengan penglibatan semua pihak termasuklah kerajaan negeri mahu pun NGO serta parti politik agar masalah yang dihadapi oleh mereka yang terkesan dapat dicari jalan penyelesaian.

Walaupun UMNO kehadapan dalam soal membantu mereka yang terlibat, namun banyak lagi yang diperlukan dan inilah masanya semua pihak berganding bahu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir berkenaan, demikian pandangan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Beliau yang turun ke kawasan sekitar bersama barisan kepimpinan Pemuda UMNO setempat serta pimpinan yang lain seterusnya menambah bantuan demi bantuan dihulurkan memperlihatkan UMNO tidak pernah meluapakan rakyat.

“UMNO dan Pemuda khususnya sentiasa membantu rakyat… malah menjadi ‘DNA’ UMNO. Apa sahaja yang berlaku di luar konteks, mana-mana masyarakat apabila da sesuatu bencana atau keperluan kebajikan UMNO kawasan itu sendiri akan memimpinya. UMNO negeri akan memimpinya dan UMNO pusat akan datang membantu. Sebab itu kerja ruji kita. Tidak pernah digembar-gemburkan dan tidak pernah diwar-warkan secara besar-besaran kerana ini asasnya.

“Sesiapa yang masuk UMNO dia tahu ini kerja hakiki yang dia kena laksanakan daripada bawah dan perkara itu tidak pernah berubah dan setiap kali ada keperluan UMNO akan ke depan walaupun ia bukan kerajaan dan apa jua jawatan.

“Saya hadir hari ini… sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf telah turun… begitu juga dengan pimpinan yang lain. Jadi akan berterusan dan insya-Allah Pemuda UMNO dan UMNO keseluruhan akan ada,” katanya.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkifli serta pimpinan yang lain.

Shahril seterusnya menambah operasi serta penyelarasan yang teratur membolehkan bantuan sewajarnya dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Hari ini kami ke Jerai dengan Merbok dapat melihat pusat operasi UMNO yang mana dapat dilihat dengan mata sendiri… semua sumbangan yang datang daripada parti dan juga luar disalurkan dan dipusatkan di pusat operasi. Nampak penyelarasan yang sangat baik. Insya-Allah semoga ianya dipermudahkan untuk mangsa banjir,” ujarnya. – UMNO Online