Nilai Kemerdekaan Merentasi Pelbagai Aspek Kehidupan – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berpandangan nilai kemerdekaan pada kali ini disifatkan lebih meluas.

Jelas beliau ini kerana pada zaman dahulu rakyat berjuang dalam memerdekakan negara namun kini cabarannya adalah berbeza.

“Kini, cabaran kita adalah memastikan negara dan rakyat Malaysia ini merdeka daripada aspek ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya.

“Mewujudkan sebuah masyarakat yang merdeka merentasi pelbagai aspek kehidupan adalah manifestasi sebenar “Malaysia Prihatin” dan “Keluarga Malaysia”.

“Dengan ini kita mampu mencapai keharmonian dan kesejahteraan. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 saya ucapkan buat semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, sambutan Hari Kebangsaan 2021 telah berlangsung pagi tadi di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya yang bertemakan “Malaysia Prihatin”.

Sambutannya diadakan mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang diadakan secara terbuka dan berskala kecil tanpa membabitkan kehadiran orang awam di lokasi. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.