PM Ajak Keluarga Malaysia Bersama Pulihkan Negara, Perangi COVID-19

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama memulihkan negara dengan berjuang memerangi pandemik COVID-19 sekali gus memerdekakan Malaysia daripada kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2021 yang disambut esok, beliau berkata cabaran serentak iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi ketika ini belum pernah ditempuhi pemimpin serta kerajaan terdahulu, yang turut dilihat menggugat kestabilan politik negara dan seluruh dunia.

“Sempena hari kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama. Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan,” katanya dalam perutusan yang disiarkan di stesen televisyen dan radio tempatan malam ini.

Ismail Sabri berkata usaha pemulihan negara antara lain boleh dilakukan oleh Keluarga Malaysia dengan segera mendapatkan vaksin yang telah terbukti memberi impak positif terutama dalam melawan musuh utama negara itu.

Berpandukan data dan fakta, Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan.

Menyingkap sejarah, Perdana Menteri berkata perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

Beliau berkata inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air walaupun bukan sedikit pahlawan negara yang gugur dan terkorban dalam mempertahan kemerdekaan negara ini.

“Negara berterima kasih kepada perjuangan dan pengorbanan seluruh yang terlibat terutama anggota keselamatan, tentera dan polis sejak dahulu sehingga kini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengajak rakyat memiliki semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun HS Lee dan Tun VT Sambanthan.

“Ini termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita warisi untuk memulih dan membina negara,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok yang bertemakan Malaysia Prihatin akan berlangsung selama kira-kira 55 minit bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19. – BERNAMA