Pertandingan Pidato Online PUMAS Bukti Kesungguhan UMNO Berdepan Pelbagai Kemelut – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berbangga dengan pencapaian Penerangan UMNO Malaysia yang berjaya merintis langkah mengaplikasi pertandingan pidato secara online buat julung kalinya walaupun berdepan dalam kemelut politik dan pandemik COVID-19.

Katanya, kejayaan ini adalah langkah positif UMNO untuk lebih maju ke hadapan dan seterusnya menjadi antara salah satu persediaan ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Walaupun dalam kemelut politik dan pandemik COVID-19 tapi Penerangan UMNO peringkat Pusat dan peringkat Negeri Selangor berjaya adakan program sebagai persiapan awal menjelang PRU.

“Tak dinafikan kemungkinan kempen-kempen secara berdepan ditiadakan maka tidak ada acara lain yang boleh dilaksana melainkan dengan menggunakan aplikasi secara maya. Ini adalah langkah awal yang kita perlu teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Pidato Online peringkat Negeri Selangor yang disiarkan secara langsung melalui platform facebook UMNO Online dengan disertai oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Terdahulu, Noh mengucapkan terima kasih kepada UMNO khususnya di Selangor yang sentiasa memberi sokongan kepada beliau hinggakan diangkat kembali menjadi menteri dalam kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Terima kasih sokongan semua khususnya daripada UMNO Selangor. Peranan UMNO di peringkat pusat dalam kerajaan baharu akan dapat memberi peluang kepada kita untuk mengambil semula kerajaan negeri dalam PRU-15 nanti.

“Apa yang penting ialah kita perlu buktikan kepada kepada rakyat tidak ada kerajaan yang dapat mentadbir lebih baik berbanding dengan UMNO/BN,” katanya lagi.

Berkaitan dengan johan bagi pertandingan pidato online peringkat negeri Selangor, beliau berharap agar yang menang akan dapat diketengahkan untuk ditonjolkan bukan sahaja bagi bertanding di peringkat pusat tetapi juga untuk berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO kelak.

Pertandingan Pidato Online ini diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021. Ia terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.