Jadikan Hari Kemerdekaan Ke-64 Inspirasi Menuju Kemenangan Pertempuran Dimensi Baru – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua agar menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 sebagai inspirasi menuju kemenangan untuk sekali lagi menang dalam pertempuran dimensi baru.

Katanya, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini juga membuatkan kita lebih mengenal erti kemerdekaan.

“Syukur alhamdulillah Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 pada tahun ini. Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 yang disambut dengan penuh pengharapan,” katanya menerusi ucapan dalam laman facebooknya.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), pengharapan agar negara bebas daripada cengkaman pandemik COVID-19.

“Erti kemerdekaan iaitu sebuah kebebasan dalam menelusuri kehidupan harian. Jika sebelum ini sebilangan kita mungkin alpa tentang nikmat kebebasan.

“Kini kita lebih mengerti betapa merdeka bukan sesuatu yang boleh dijual beli. Tersangat bernilai.
Benar wabak COVID-19 telah meragut sebahagian kebebasan kita sebagai anak merdeka, tetapi itu tidak pernah melemahkan kita untuk bersama-sama terus berjuang.”

Jelas Ahmad Zahid, musuh hari ini sangat kecil saiznya dan sukar dimatikan selain bergerak dalam diam.

“Musuh kita dahulu jelas fizikal dan pergerakan mereka selain mudah dipatahkan serangan mereka.
Cabaran ini menjadikan penjajahan virus berbahaya ini begitu sukar diatasi di seluruh dunia.

“Kes kematian makin meningkat dari hari ke hari dan ramai orang tersayang sudah tewas di medan pertempuran memerangi virus ini.”

Namun katanya, iltizam yang jitu akan membuahkan hasil dengan syarat kesepaduan penyelarasan tindakan dan pemahaman kerana membebaskan negara daripada ancaman berbahaya yang telah mengorbankan begitu ramai adalah tugas bersama.

“Maka teruskan perjuangan itu. Jangan mengalah kerana Malaysia sebuah negara merdeka,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.