Ahmad Maslan Ulangi Cadangan Akta Lompat Parti Dibentang Di Parlimen

KUALA LUMPUR. 30 Ogos – Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengulangi cadangannya agar Akta Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen.

Katanya, sebelum ini beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian pernah menyuarakan cadangan terbabit di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 20 Disember 2018 agar akta tersebut dilaksanakan.

“Ketika itu tiada siapa kisah, Maka saya ingin ulangi cadangan itu kepada Kerajaan Malaysia yang baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri. Jangan cemari demokrasi di negara ini. Hentikan lompat parti,” katanya menerusi ciapan menerusi Twitter.

Terdahulu dalam cadangannya, beliau meminta kerajaan membentangkan Rang Undang-undang pada sidang Parlimen Mac 2019 agar dilulus Akta Lompat Parti.

“Akta itu juga patut kenakan denda kepada ahli Parlimen yang lompat parti seperti pulangkan dana RM200 ribu yang digunakan ketika kembali kepada parti. Peringkat negeri juga wajar diadakan akta itu untuk halang ADUN daripada melompat. Malaysia akan jadi salah satu contoh demokrasi yang terbaik jika akta ini dibuat.

“Jika lompat automatik berlaku PRK dan yang lompat tidak dibenar bertanding PRK.”

Jelasnya, akta ini wajar dilaksana kerana:
1. Lompat parti mencemar demokrasi
2. Lompat parti mengkhianati pengundi
3. Lompat parti melanggar etika parti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.