Rakyat Mahukan BN Kembali Kemudi Kerajaan – Saarani

LENGGONG, 29 Ogos – Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata ramai rakyat bertanya kepadanya bilakah pilihan raya umum (PRU) akan diadakan kerana mahu membetulkan kesilapan mereka yang dahulu terpedaya dengan janji-janji Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN negeri itu berkata rakyat mahu mengembalikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengemudi kerajaan.

“Ramai yang bertanya bila pilihan raya kerana hendak membetulkan kesilapan, kerana mahu pastikan kerajaan terdahulu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan kembali menerajui kerajaan iaitu BN.

“Kita menang semua dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK). Rata-rata kita lihat terutama sekali pengundi muda ataupun pengundi-pengundi yang merasakan mereka tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong pada PRU-14 2018, mereka tidak sabar untuk membetulkan kesilapan.

“Sebab itu kita menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan klasik kes menang dengan kemenangan yang sangat besar di Tanjung Piai, lebih 15 ribu (majoriti), menang di Kimanis…Slim. Semua itu menggambar pengundi-pengundi yang tersilap undi pada PRU-14 lalu tak sabar-sabar untuk kembali ke kotak mengundi dan tak sabar menurunkan undi kepada BN,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Lenggong ketika melancarkan jentera pilihan rayanya secara maya, Sabtu malam di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pilihan Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering Datuk Mohd Tarmizi Idris, Pengarah Bilik Gerakan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong dan kepimpinan bahagian.

Sebagai rekod, Parlimen Lenggong merupakan Parlimen pertama yang melancarkan jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU-15.

Seterusnya tambah Saarani yang juga merupakan ADUN Kota Tampan berkata dengan semangat itu, beliau percaya BN akan kembali mengemudi negara pada PRU-15 nanti.

“Jadi dengan semangat itu saya percaya dalam tempoh perdana menteri baru ini, akan membuktikan bahawa memang betul BN…boleh diberikan kepercayaan untuk kembali mengemudi Malaysia pada PRU-15 nanti. Insya-Allah.

“Tujuan pilihan raya ialah menang untuk menjadi kerajaan. Jadi kerajaan bukan untuk membuat kerosakan tetapi untuk membuat kebajikan,” tegasnya lagi.

Saarani juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di dalam BN Lenggong yang jelas menunjukkan komitmen dengan bekerja keras bagi memastikan kerusi-kerusi DUN dan Parlimen akan tetap memihak kepada BN bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri dan pusat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.