Kuarantin Di Rumah: Perlu Ada Perkongsian Data Antara Agensi Kesihatan Dan Kebajikan Untuk Penyaluran Bantuan – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan alangkah baiknya jika Kementerian Kesihatan melalui klinik-klinik kesihatannya berkongsi data golongan yang diperintah untuk berkuarantin di rumah dengan Kementerian Kebajikan.

Katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya Shahrir Samad – Tok Uban, apabila dua kementerian ini berkongsi data, mereka yang berkuarantin di rumah boleh mendapat barang keperluan untuk tempoh kuarantin dari Jabatan Kebajikan.

“Buat masa ini, mereka yang dikena perintah kuarantin ditinggalkan begitu sahaja. Dahlah tak boleh keluar rumah untuk membeli-belah, tidak tahu pula kalau mereka mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli-belah,” kata bekas Pengerusi Felda itu.

Sebagai contoh jelasnya lagi dii Johor Bahru, sudah lebih seratus isi rumah yang berkuarantin dibantu dengan bekalan barang-barang keperluan oleh badan-badan masyarakat dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Kerana tidak ada perkongsian data di antara badan-badan kerajaan, masyarakatlah yang mengambil tanggungjawab.

“Sebab itu, memerangi COVID tidak boleh diuruskan hanya dari pusat tapi perlu kepada penyelarasan di pusat dan dilibatkan jentera di bawah,” tegurnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.