Ceramah Dan Pidato Antara Komponen Penting Untuk Hadapi Ujian Sebenar Nanti – Shahril

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berpandangan dalam apa jua keadaan, penerangan parti mesti berada dalam keadaan siap siaga untuk berdepan dengan ujian sebenar kelak dalam usaha membantu parti mendapat kepercayaan rakyat.

Berucap pada majlis Perasmian Pertandingan Pidato Secara Online peringkat Negeri Melaka malam tadi, beliau berkata ujian sebenar nanti adalah Pilihan Raya Umum (PRU) dan dalam keadaan itu, Penerangan UMNO perlu mengorak langkah berasaskan situasi semasa termasuklah mengadakan program pidato secara online dalam usaha mencari serta mengasah bakat sedia ada untuk diketengahkan.

“Penerangan UMNO dalam apa jua keadaan mesti bersiap sedia untuk ujian sebenar iaitu  menghadapi PRU kerana kita melihat dalam keadaan politik semasa ini kita tidak boleh menjangkakan bilakah ujian sebenar itu hadir. Kita tidak boleh duduk sahaja dan mengharapkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan dan persiapan itu akan datang dengan sendiri.

“Tentunya Penerangan hanya satu komponen daripada banyak-banyak komponen persiapan pilihan raya tetapi saya fikir dan tidak keterlaluan saya sebut penerangan dan komunikasi adalah antara komponen yang mustahak,” katanya.

Perasmian secara maya Pertandingan Pidato Online Peringkat negeri Melaka dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh malam tadi. Perasmian tersebut turut disertai Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan pimpinan lain.

Shahril seterusnya menambah dalam keadaan pandemik COVID hari ini serta jangkaan pada masa depan Penerangan UMNO Malaysia mengambil langkah sedemikian.

“Kita juga sedar bahawa kita mesti  terima sebarang kebarangkalian. Bila tiba sahaja pilihan raya itu datang mungkin masih dalam keadaan COVID… sebab kita lihat di negara-negara lain yang mana walaupun vaksinasi itu sudah hampir lengkap atau lengkap tetapi angka jangkitan tetap lagi meningkat. Saya bukan doktor dan bukan pakar tetapi apabila kita baca laporan-laporan menunjukkan bahawa ada varian-varian tertentu yang agak kuat berbanding dengan vaksin yang ada setakat hari ini.

“Insya Allah tidak akan membawa kepada kadar kematian yang tinggi tetapi masih ada jangkitan tersebut. Jadi apabila kita melihat ‘trend’ itu di negara-negara lain kita tidak boleh lagi menjangkakan bahawa bulan 11, bulan 12 COVID ini akan selesai. Saya rasa bukan lagi pandemik  tetapi endemik. Saya tidak boleh jangkakan perkara itu akan diuruskan oleh kerajaan hari ini tetapi kalau pilihan raya diadakan setahun lebih..wallahua’lam…mungkin pihak berkuasa akan meletakkan kekangan-kekangan tertentu.

“Kalau ada kekangan tertentu seperti tidak boleh ceramah secara fizikal dan sebagainya saya fikir kita tidak ada opsyen lain melionkan menggunakan saluran digital untuk berkempen dan menyampaikan hujah penerangan dan komunikasi. Dalam kehangatan kempen tidak ada gantinya berbanding pidato atau ceramah. Jadi kita nak kekalkan penyampaian tradisi iaitu pidato dan ceramah tetapi menggunakan saluran yang moden iaitu saluran digital,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman dalam ucapan alu-aluan pula melihat penyertaan yang amat membanggakan daripada para peserta memberi suntikan semangat kepada UMNO negeri tersebut.

Malah tambah beliau daripada keseluruhan peserta rata-rata ianya dibarisi oleh mereka yang berumur bawah 40 tahun daripada enam bahagian UMNO negeri tersebut.

” Setiap bahagian menghantar dua peserta dan kita ada 12 peserta. 11 daripada jumlah peserta yang menyertai pertandingan ini bawah 40 dan ini satu petanda yang baik kepada UMNO Melaka  untuk melahirkan pemidato-pemidato hebat yang mana boleh membantu parti pada PRU nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.