UMNO Rakam Takziah, Negara Kehilangan Tokoh Banyak Jasa Kepada Negara

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji  Abdul Hamid, bekas ketua setiausaha negara yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi catatan di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata negara kehilangan seorang lagi tokoh yang banyak jasanya kepada perkhidmatan awam dan perkembangan agama Islam.

“Salam Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, semoga mereka akan tabah menghadapi dugaan ini.

“Semoga segala jasanya kepada Malaysia selama ini akan menjadi simpanan berharga di akhirat,” ujarnya.

Allahyarham Tun Ahmad Sarji merupakan Tokoh Melayu Terbilang UMNO 2008.

Memetik laporan, bekas ketua setiausaha negara Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi.

Allahyarham meninggal pada usia 82 tahun dan meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga Ahmad Sarji dalam satu kenyataan hari ini. Al – Fatihah- UMNO Online