Ahmad Zahid Ajak Rakyat Kibarkan Bendera Malaysia, Simbol Kedaulatan Negara
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mengibarkan bendera Malaysia jalur gemilang.
Menurut beliau jalur gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang mula berkibar sejak 31 Ogos 1957.
“Kepada rakan-rakan semua saya seru ayuh kita kibarkan bendera Malaysia Jalur Gemilang. Jalur Gemilang simbol kedaulatan negara yang mula berkibar sejak 31 Ogos 1957.
“Kibarkan sempena Hari Kebangsaan 2021 sebagai lambang nasionalisme rakyat Malaysia. Benar kita sedang berdepan kesuraman ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19. Namun itu tidak pernah menyuramkan dan mengancam semangat kita cintakan kepada negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata Ahmad Zahid lagi jangan sesekali merajuk dan hilang keyakinan dan inilah tanah air kita dan inilah negara yang kita sayangi.
“Jika bukan kita, siapakah yang akan menjulang panji kebesaran negara. Kitalah nadinya. Kibarkan bendera Malaysia tanda solidariti rakyat dengan iltizam dan semangat yang jitu,” ujarnya. – UMNO Online