Beri Ruang PM-9, Jangan Ada Lagi Gelombang Demi Gelombang Rugikan Negara – Pakar Sejarah


KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pakar Sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam berharap rakyat dapat bersabar dengan memberi peluang serta ruang kepada Perdana Menteri ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merancang dengan sebaiknya.

Menurut beliau selepas Mei 2018 politik negara menjadi tidak menentu malah sangat rapuh sehingga berlaku pelbagai gelombang sehinggalah gelombang ketiga pada kali ini.

“Jadi saya harap masyarakat Malaysia dapat bersabar dengan memberi peluang serta ruang kepada Datuk Seri Ismail Sabri supaya dapat merancang dengan baik.

“Sebab bagi saya apabila beliau mengangkat sumpah sahaja kita melihat beliau terpaksa mendengar banyak cadangan daripada bekas perdana menteri, bekas-bekas perdana menteri… selepas tu pembangkang juga yang tidak puas hati kerana tidak dapat tampuk pemerintahan.

“Pimpinan pembangkang juga melontarkan macam-macam komen dan netizen pun apa kurangnya. Mereka juga memberikan macam-macam tuduhan. Apabila saya baca saya kesian sangat sebab nampak sangat apabila baru sahaja angkat sumpah dah keluar komen macam-macam.

“Jadi bagi saya ini satu keadaan yang kurang selesa bagi Datuk Seri Ismail Sabri untuk melaksanakan tugas-tugasnya dan saya juga percaya beliau akan turut menghadapi cabaran dalam pelantikan kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bual Bicara’ dengan topik ‘Bersediakan Kita?’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Prof Ramlah seterusnya percaya dan pada masa yang sama melihat pelantikan kabinet yang akan datang ini sememangnya terpaksa dilakukan dengan berhati-hati dengan mengambil kira semua kehendak pelbagai pihak.

“Dan dalam masa yang sama mendengar juga nasihat-nasihat orang tertentu… kalau kita selalu dengar cakap-cakap orang terutama bekas-bekas PM, bagi saya itu sebenarnya suatu… patut boleh bagi cadangan tetapi itu terpulang kepada PM sama ada mahu menerimanya atau tidak. Sebab beliau adalah PM…, PM bagi saya mempunyai kuasa penuh kepada kerajaan yang akan dibina.

“Jadi kita dikelilingi terutama bekas-bekas serta parti-parti pembangkang kena sokong. Sebab bagi saya kalau kita tidak mahu lagi ketidaktentuan politik negara kita, maka pembangkang juga perlu berhati mulia menyokong Datuk Seri Ismail Sabri, dan begitu juga komponen yang bekerja dengan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Mereka juga kena berlapang dada dan ‘enough is enough’… cukuplah kita dah ada beberapa kali gelombang… ini gelombang ketiga. Kalau gelombang ketiga ini kita tenggelam juga maknanya negara kita akan hancur selama lima tahun. Memang kita akan teruk sangat terutama ekonomi kita,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.