Rakaman Suara : Tengku Azlan Nafi, Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 23 Ogos –  Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar hari ini menafikan rakaman suara yang dikatakan mirip suaranya dan menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

Pada sidang medianya petang tadi, beliau turut memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut dan berharap ianya dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Saya menafikan apa yang telah dilakukan yang mana digunakan gambar saya, suara saya kononnya oleh pihak yang saya sebut tadi…saya perlu jelaskan kepada masyarakat iaitu saya tidak langsung membuat sesuatu yang terkutuk seumpama ini bahkan ianya melibatkan nama baik Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong …kemungkinan Raja-Raja Melayu lain. Ini satu perbuatan fitnah oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Saya juga telah buat laporan polis pagi tadi…dan saya telahpun disiasat nampak semuanya berjalan dengan baik. Mereka memahami apa yang telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Insya Allah kita dapat selesaikan perkara ini dengan cara sebaiknya dan terhormat,” katanya.

Beliau seterusnya berharap agar pihak tidak bertanggungjawab tidak beterusan melakukan sesuatu seumpama ini dan berpolitiklah secara matang.

“Ini perkara yang tidak baik…kalau nak berpolitik berpolitik dengan cara yang baik…cara ini sesuatu yang tidak sihat. Gunalah politik yang lebih bertanggungjawab dan yang lebih matang.

“Jadi itulah harapan saya dengan kenyataan ini akan membersihkan nama saya dan juga sebaik mungkin kita berharap perkara ini tidak akan berulang lagi,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.