Beratur Rapat Tanpa Penjarakan Sosial, Amat Sukar Diterima – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – “Beratur rapat tanpa penjarakan sosial di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) amat sukar diterima.”
Demikian luahan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ekoran tular sebuah video yang memaparkan orang ramai beratur tanpa penjarakan sosial ketika berbaris untuk mendapatkan vaksin di ibu negara.
“Beratur rapat tanpa penjarakan sosial di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) amat sukar diterima.
“Ini tempat yang sepatutnya paling arif tentang bahaya risiko penularan wabak COVID-19.
“Jika ini gambaran pemantauan rapi akan dipergiat untuk kelonggaran dua dos, saya tidak tahu apakah nasib rakyat selepas ini?” soal beliau melalui hantaran di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid keadaan seperti ini sangat merisikokan apatah lagi kes harian penularan wabak ini juga masih berada pada tahap yang membimbangkan.
“Mahu berapa banyak lagi jangkitan dan mereka yang terkorban? Hari ini 211 lagi dilaporkan maut menjadikan keseluruhan yang telah meninggal dunia lebih 11,000 orang.
“Jumlah kes aktif COVID-19 telah mencecah lebih 230,000 dan terpaksa dirawat ICU kini 1,053. Adakah ini yang dikatakan kerajaan yang berjaya? Laungan kerajaan jaga rakyat semakin sukar diyakini,” ujar beliau. –UMNO Online