Teguh Pertahan UMNO, Enggan Terima Mainan Politik Porak-perandakan Keutuhan – Maslin Sham

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – UMNO Bahagian Kuala Kangsar akan berdiri teguh bagi mempertahankan parti dengan menyokong keputusan yang telah dibuat kerana ia merupakan terjemahan hasrat ahli akar umbi yang memang tidak boleh menerima mainan politik Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memporak perandakan keutuhan UMNO.

Dalam hal ini, Ketuanya, Maslin Sham Razman memaklumkan bahawa UMNO Bahagian terbabit akan terus menumpukan usaha untuk memastikan rakyat di kawasan itu mendapat pembelaan yang sewajarnya dan memastikan wakil-wakil rakyatnya baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen melaksanakan amanah parti demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai pimpinan di peringkat akar umbi, UMNO Bahagian Kuala Kangsar ingin menyatakan pendirian menyokong keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, juga pendirian UMNO yang dibuat semasa PAU 2020 oleh sidang perwakilan dan pendirian yang telah dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.”

Ujanya, UMNO Bahagian Kuala Kangsar juga memandang serius tindakan Ahli-Ahli Parlimen daripada UMNO yang semakin berani dan secara terang-terangan menentang keputusan yang telah dibuat oleh parti.

“Tindakan seumpama ini khususnya oleh mereka yang telah diangkat oleh parti dan beroleh pelbagai kedudukan kerana dukungan yang diberikan oleh ahli-ahli akar umbi, amat mengecewakan.

“Walaupun telah jelas siri kegagalan kerajaan dan kemuncaknya wujud konflik perhubungan antara kerajaan dan Istana Negara apabila kerajaan telah disifatkan oleh Yang di-Pertuan Agong membelakangi fungsi dan kuasa baginda, menjadi asas UMNO menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan kerajaan PN, tindakan mereka yang tidak menghormati serta mematuhi keputusan parti amat dikesali.

“Suka juga diingatkan kepada semua pihak khususnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar agar mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi sebagai punca kuasa tertinggi parti dalam ketiadaan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.