Pertahan Aspirasi Parti… UMNO Maran Kecewa Ada Pemimpin Belakangkan Keputusan Parti


KUALA LUMPUR, 5 Ogos – UMNO Bahagian Maran menegaskan aspirasi parti dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air selain mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan mestilah menjadi asas pedoman dan panduan.

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memaklumkan bahawa UMNO Bahagian menzahirkan dukacita dan kekecewaan terhadap kenyataan Ahli Parlimen Maran pada 4 Ogos 2021 yang jelas membelakang dan bercanggah dengan kehendak dan keputusan parti.

“UMNO Bahagian Maran berdiri teguh di belakang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.
“Ketetapan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan keputusan parti harus dihormati oleh semua pemimpin dalam membawa hala tuju parti,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.