Laporan Polis Terhadap PM, Kenyataan Campurtangan Urusan Mahkamah Amat Serius

ALOR SETAR, 5 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini bagi meminta polis menjalankan siasatan terhadap kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media semalam yang mana beliau menyebut mengenai adanya unsur mempengaruhi beliau supaya campurtangan urusan mahkamah dalam perbicaraan kes jenayah individu tertentu.

Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan berkata kenyataan yang dibuat Perdana Menteri itu sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan campur tangan cabang eksekutif terhadap cabang kehakiman yang bertanggungjawab kepada sistem keadilan negara.

“Implikasi dan persepsi yang tercipta menunjukkan seolah-olah boleh wujud ‘pencerobohan bidang kuasa’ oleh cabang eksekutif kepada cabang kehakiman yang sekiranya benar telah merosakkan doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas sistem demokrasi negara.

“Selain itu, kenyataan itu juga sekiranya disalahtafsir boleh menunjukkan seolah-olah sistem undang-undang serta keadilan boleh dijual beli, sekaligus merosakkan imej, integriti dan prestij institusi mahkamah dan ini pastinya mengugat keyakinan seluruh rakyat Malaysia dan menjatuhkan tahap kepercayaan negara luar terhadap sistem demokrasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis tersebut.

Sehubungan itu, katanya, satu siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan pihak berkuasa tidak terhad kepada siasatan oleh pihak PDRM sahaja.

“Sekiranya terdapat salah laku dan kebenaran dakwaan tersebut, maka tindakan undang-undang perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang telah mencabuli sistem demokrasi dan melanggar undang-undang.

“Perdana Menteri juga perlu membuktikan dakwaan beliau itu, dan sekiranya tidak, beliau hanya dianggap menembak peluru kapur bagi membunuh karakter individu tertentu kerana perbezaan politik yang berlaku sekarang. Beban pembuktian adalah terhadap Perdana Menteri setelah beliau membuat dakwaan umum berkenaan.”

Laporan polis kedua pula dibuat oleh Syed Mohd Johan Rizal sebagai tindak balas terhadap laporan polis yang dibuat Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah semalam terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau memperdaya Yang Dipertuan Agong tentang bilangan Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

“Laporan polis Pemuda UMNO itu dibuat supaya dapat dilakukan siasatan terhadap kenyataan PN Kedah itu kerana kenyataan mereka adalah satu fitnah terhadap Presiden UMNO dan mereka juga telah membuat satu laporan palsu.

“Ditegaskan bahawa semasa sidang media Presiden UMNO dan kenyataan media dengan beberapa akbar dan portal selepas itu beliau tidak langsung menyebut angka ahli parlimen UMNO yang beliau persembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.”

Ujarnya, angka 12 yang dirujuk itu adalah jumlah berdasarkan kiraan mahupun tafsiran para penulis berita sahaja, tanpa satu kenyataan rasmi dari pihak UMNO.

“Pemuda UMNO Kedah berharap polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap laporan palsu dan fitnah Pemuda PN berkenaan dibawah seksyen 499 Kanun tatacacara Jenayah.

“Kepada PN Kedah buat kajian dahulu sebelum berbicara dan jangan jadi ‘deras datang dalam kena’,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.