Laporan Polis Kepada Presiden UMNO Menjijikkan, Penghinaan Buat Ahli UMNO – Jamil Khir

ALOR SETAR, 5 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menempelak Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah, saudara Khairul Anuar Ramli yang membuat laporan polis ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, ini adalah merupakan suatu tuduhan yang amat menjijikkan serta sebuah penghinaan bukan sahaja kepada Presiden UMNO bahkan seluruh ahli UMNO yg melebihi 3 juta keahlian.

“Hakikatnya yang terkeliru fakta ialah saudara Khairul Anuar sendiri. Selaku Ketua Bahagian PPBM Padang Serai dimana beliau terlalu gopoh dalam memahami rentetan peristiwa,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit hari ini.

Dilaporkan, antara dakwaan yang dibuat ialah kononnya Ahmad Zahid telah memperdayakan Yang Dipertuan Agong berhubung jumlah Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan dari kerajaan PN seusai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021.

Jelas Jamil Khir, jumlah 8 Ahli Parlimen UMNO yang menarik diri dari mendokong kerajaan PN dan kepimpinan Tan Sri Mahiaddin selaku Perdana Menteri adalah senarai awal yang diberikan kepada Speaker Dewan Rakyat sebagai pemakluman bagi disusun letakkan dikerusi dewan bukan barisan kerajaan. Pada 30 Julai surat akuan Ahli Parlimen berkenaan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Kemudian disusuli dengan senarai surat akuan tambahan senarai Ahli Parlimen UMNO yang menarik diri dipersembahkan secara berturutan kehadapan Yang Dipertuan Agong. Selepas dari ini akan ada lagi beberapa senarai nama yang dikemukakan bagi tujuan yang sama.

“Justeru, isu memperdaya Yang Dipertuan Agong tidak berbangkit. Apa yang dilakukan oleh YB Datuk Seri Presiden Parti UMNO adalah urusan rasmi beliau atas kapasati ketua kepada sebuah parti. Ianya juga dilakukan selepas Mesyuarat MT dilaksanakan.

“Dalam kontek laporan polis diatas perkara pokok yang perlu difikirkan oleh Perikatan Nasional Negeri Kedah ialah apakah Kerajaan PN hari ini memiliki cukup sokongan majoriti dari Ahli Parlimen untuk kekal selaku memerintah serta perlu diabsah kan tanpa dilengahkan. Jika diteliti berdasarkan perkembangan semasa, jumlah bilangan yang menyokong semakin berkurang dan menjadi tanda soal disudut Perlembagaan.”

Justeru tegasnya, rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan memiliki legitimasi yang kuat, di samping jumlah majoriti yg perlu dibukti maka secara ‘gentleman’ ianya perlu di percepatkan serta disegerakan sekarang bagi pengabsahan disidang khas Parlimen.

“Pendekatan berkenaan lebih afdal bagi mengurai dan merungkaikan segala persoalan berbangkit yang menjadi bahan bualan netizen dan masyarakat berbanding menangguhkan sidang Parlimen sehingga ke bulan September,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.