Kerana Kuasa Lantang Bersuara… Untuk Tuntutan Rakyat Di Mana Mereka? – Fadzmel


KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil menempelak sikap angkuh dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) setelah mengeluarkan kenyataan menyindir keputusan kepimpinan UMNO untuk menarik semula sokongan terhadap Kerajaan PN.

Tegasnya, memang begitu jugalah apabila kuasa dan pangkat menjadi sandaran iaitu prinsip dan pegangan lenyap hilang dari pandangan, tidak bersama denyut nadi rakyat yang kian menderita akibat kepincangan sebuah Kerajaan.

“Apa usaha yang telah dilakukan oleh Ketua Pemuda PN ketika rakyat dihimpit kesusahan, dipaksa berkurung di rumah dengan tanpa bantuan, dipaksa merayu memohon i-Sinar, i-Citra, Moratorium serta bantuan tunai?

“Di mana suara Pemuda PN ketika itu? Di mana mereka ketika Pemuda UMNO mendesak dan memberi cadangan-cadangan menerusi ‘tuntutan rakyat’. Bila didesak dikatakan hikayat Gunung Ledang, bila ditekan supaya lantang bersuara, dikatakan sedang berbisik. Bila diajak beri pandangan, di suruhnya mencetak wang kertas. Malah, bila diajak untuk bersama-sama menghantar surat kepada Kerajaan untuk membantu rakyat, mereka sibuk pula menghantar surat sokongan meminta projek,” bidasnya lagi menerusi kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini

Ujarnya,UMNO sudah membuat keputusan dan memilih untuk meninggalkan ‘saf’ PN kerana telah gagal memperjuangkan nasib rakyat dan jelas menderhaka terhadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

“Mungkin kerana mabuk kuasa, elok saya waraskan kembali pemikiran ‘Kluster Derhaka’ bahawa ini adalah janji utama di dalam piagam Muafakat Nasional:‘menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara’.

“Berlindunglah di belakang Perdana Menteri yang tidak mampu memimpin negara. Menyoroklah dari perancangan yang ternyata gagal di mata rakyat jelata. Teruslah selesa di kerusi empuk, teruslah mendabik dada dan satu hari nanti jangan pula melutut meminta nyawa.

“Teruslah memuja Perdana Menteri ketika dia sedang berkuasa. Teruslah bersama ‘Kluster Derhaka’ yang menjadi asbab kematian yang semakin tinggi dan teruslah memangkin angka bunuh diri hanya kerana sifat pentingkan poket di sisi. Teruskanlah dengan kenyataan mencipta sengketa sebegini kerana yakinlah wahai Ketua Pemuda PN bahawa sebenarnya nilai sahabat lebih mulia dari habuan dunia yang dinikmati hari ini.”

Ujarnya lagi, tepuk dada tanya selera dan menyertakan frasa Inggeris, ‘Good riddance’ buat penderhaka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.