Berpegang Kepada Asas Perjuangan UMNO, Pertahan Institusi Raja – UMNO Ledang

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – UMNO Bahagian Ledang berpegang kepada asas perjuangan UMNO yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO iaitu mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.

Ketuanya, Datuk Dr. Ir. Hamim Bin Samuri menegaskan UMNO Bahagian Ledang mengambil pendirian bahawa Institusi Raja sepertimana yang diikrarkan dalam Rukun Negara hendaklah dipertahankan dan pendekatan secara berhemah serta bijaksana wajar diutamakan oleh pihak kerajaan terutama di dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan yang melibatkan perlembagaan.

“UMNO Bahagian Ledang menzahirkan sokongan kepada titah dan teguran KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong terhadap Kerajaan yang berkaitan dengan Ordinan-ordinan Darurat keatas Proklamasi Darurat yang berakhir pada 1 Ogos 2021.

“UMNO Bahagian Ledang menyokong ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah dibuat pada 3 Ogos 2021 dan meminta supaya kepimpinan UMNO sentiasa mengutamakan kemaslahatan rakyat yang sedang terbeban teruk akibat Covid-19 dan kelembapan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, UMNO Ledang akan berterusan menyokong ketetapan tersebut selagi kepimpinan UMNO sentiasa tegas dengan pendirian ‘No DAP No Anwar No PPBM’ seperti yang telah dilaungkan dalam PAU 2020. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.