Yakini Kebijaksanaan Tuanku, Keputusan Terbaik Buat Rakyat Dan Negara – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berkata ekoran perkembangan semalam, jelas bahawa Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin tidak lagi memegang sokongan majoriti lebih 110 Ahli Parlimen.

Katanya, pelbagai ramalan yang diutarakan penganalisa mahupun pemerhati politik tentang apa yang akan berlaku seterusnya dari ramalan Perdana Menteri baru ‘interim’ sehinggalah ‘kerajaan minoriti’, yang mana kedua-duanya tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi dari pemahaman saya, tidak bermaksud suatu penyelesaian mirip kepada kedua-dua itu mustahil dilaksana mengikut lunas Perlembagaan.

“Maka dalam senario di mana Pilihan Raya Umum (PRU) segera tidak menjadi pilihan, dan di mana Perdana Menteri Kelapan tidak lagi ada majoriti Dewan, pengaruh besar dalam menentukan senario apa yang terbaik dimiliki Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook mengulas isu politik terkini negara.

Jelas Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, seperti kelaziman UMNO meletakkan insititusi Raja Berperlembagaan pada tahap yang tinggi.

“Kita wajar memiliki penuh keyakinan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara akan melaksanakan peranan dan kuasa Baginda sebaiknya berlandaskan apa yang tertakluk di dalam Perlembagaan serta mengambil kira segala sudut pertimbangan.

“Sama-sama kita doakan agar situasi ini tidak berlarutan dan satu penyelesaian tercapai segera.

“Yang di-Pertuan Agong terus diberikan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Daulat Tuanku,” katanya.

Semalam, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Demikian tegas Ahmad Zahid dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, Selasa petang. – UMNO ONLINE