UMNO Junjung Tinggi Prinsip Rukun Negara, Daulatkan Institusi Raja-Raja Melayu – UMNO Perak


IPOH, 4 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merupakan keputusan yang tanpa nafsi dan bertunjangkan keluhan rakyat dan ahli akar umbi.

Menurutnya, Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan MKT telah membuktikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang amat menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu selari dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO perlu melaksanakan keputusan MKT UMNO dengan menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia serta-merta.

“Inilah masanya ahli membuktikan sikap taat setia kepada parti,” kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Untuk rekod, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Demikian tegas Ahmad Zahid dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, Selasa petang.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Zolkafly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang merakamkan ucapan tahhniah dan syabas kepada Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah kerana menjunjung tinggi keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO dengan meletakkan jawatan di dalam Jemaah Menteri sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Begitu juga Zolkafly bersyukur kepada Allah SWT yang telah membuka hati ahli-ahli MKT UMNO dalam membuat keputusan yang tegas serta penuh kesepakatan.

“Percayalah, parti ini merupakan parti akar umbi, patah sayap bertongkat paruh jua.

“UMNO akan terus berjuang membawa suara rakyat tanpa noktah. Hidup UMNO, Daulat Tuanku,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.