Pendirian Dan Prinsip Shamsul Anuar Harus Dicontohi – Zahida

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan menyanjung tinggi pendirian Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ujar Zahida, pendirian dan prinsip bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu harus dicontohi oleh semua pendukung parti.

“Menjadi menteri kerana partinya. Namun melepaskan jawatan kerana kepentingan parti tak ramai yang mampu.

“Menjadi ahli parti hanya perlu mengisi sekeping borang. Menjadi orang parti hanya tersirat dari hati yang murni,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Shamsul meletakkan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan setelah mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

“Saya yakin semuanya perancangan Allah. Sebagai pemimpin dan ahli parti. Prinsip saya kekal dan keutamaan saya adalah parti.

“Saya lebih sayangkan UMNO dari jawatan saya. Saya ingin tumpuan sepenuh masa untuk perkukuhkan UMNO Barisan Nasional (BN),” katanya.

Untuk rekod juga, semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.