UMNO Pengerang Berdiri Teguh Bersama Presiden Dan Parti

KUALA LUMPUR –Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyambut baik kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Beliau yang juga Ketua UMNO Pengerang seterusnya berkata keputusan ini sememangnya selaras dengan asas dan tujuan parti UMNO seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.

“‘Raja dan rakyat berpisah tiada’. Institusi Raja merupakan payung negara yang melindungi rakyat. UMNO Bahagian Pengerang konsisten dan menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang mengambil pendirian berpihak kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Petang tadi, dilaporkan UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Perkara berkenaan ditegaskan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hari ini.

“Kenyataan terbaru Perdana Menteri hari ini, tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan Kerajaan yang jelas telah menyanggah titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong, malah mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.” katanya.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong maka, MKT sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.