Selain Vaksin, Kerajaan Perlu Ada Pelan Tindakan Drastik Turunkan Kes COVID-19 – Iqbal Jamal

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin mengingatkan kepada kerajaan pusat bahawa sudah seminggu berturut-turut kes positif COVID-19 atas 15,000 kes dan angka mereka yang meninggal dunia juga menunjukkan peningkatan.

Tegasnya sementara kerajaan mahu menyelesaikan isu-isu politik semasa, isu kesihatan rakyat itu perlu ada pelan tindakan secara drastik untuk turunkan kes dan setidak-tidaknya penerangan yang jelas untuk mengelak rakyat daripada panik.

“Tambahan banyak pulak tular video yang bukan-bukan mengenai COVID-19.

“Tiada keyakinan dibina oleh pihak kerajaan selain vaksin daripada KJ (Khairy Jamaluddin – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan). Bertindaklah!” gesanya dalam satu hantaran di Facebook.

Iqbal berkata demikian mengulas mengenai isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan selain daripada isu darurat, isu Perdana Menteri hilang majoriti, isu UMNO tarik sokongan dan pelbagai isu lagi.

Dilaporkan, kes positif COVID-19 di negara ini pertama kali melonjak ke angka lebih 15,000 iaitu 15,573 kes pada 23 Julai lalu dan hari ini berada di angka 17,105 kes di mana jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,163,291 melibatkan lebih sembilan ribu kematian.

Berhubung dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menurut data yang dikongsikan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 61.8 peratus populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19, setakat semalam.

Menurut data itu juga, pemberian dos kedua bagi populasi dewasa pula cecah 30.7 peratus dan ini menjadikan jumlah kumulatif suntikan dos vaksin COVID-19 di negara ini melepasi 21,668,999 juta dos keseluruhan.

Seterusnya, berhubung dengan program imunisasi, Iqbal dalam platform media sosialnya itu berkata Pemuda UMNO bahagiannya turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar kepada penerima vaksin berumur 60 tahun ke atas secara percuma.

“Kepada warga Parlimen Ipoh Barat yang berumur 60 tahun ke atas mulai hari ini (3 Ogos 2021) boleh menerima vaksin tanpa temujanji di Stadium Indera Mulia (secara walk-in).

“Oleh demikian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat (IBY) menyediakan perkhidmatan ambil dan hantar kepada penerima (>60 Tahun) vaksin ke Stadium Indera Mulia tanpa bayaran.

“Jika ada yang berminat boleh menggunakan khidmat ambil dan hantar ini. Sila hubungi di talian berikut +60162228587 saudara Hamzah Hamdan untuk menggunakan perkhidmatan kami,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.