Elak Manipulasi Ulasan Demi Kepentingan Politik – Sharkar

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – UMNO Bahagian Temerloh menyokong penuh kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail bahawa wujud unsur manipulasi dalam ulasan-ulasan berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021.

Ketuanya Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata usah cuba berselindung pada Perkara 40 (1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan untuk mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong ‘hendaklah’ menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Elak memanipulasikan ulasan demi kepentingan politik masing-masing sebaliknya rakyat perlu dijelaskan perkara sebenar supaya tidak keliru,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilapor menyifatkan ada unsur berbaur manipulasi dalam ulasan berkaitan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat 2021.

Katanya merujuk kepada beberapa ulasan dibuat dan mendapat siaran dalam sesetengah media tempatan beliau mendapati ianya adalah tidak dalam konteks sebenar, sebaliknya ada unsur atau berbaur manipulasi.

“Disebutnya tentang Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang perlu bertindak menurut nasihat Jemaah Menteri.

“Lalu ada yang mendakwa betapa dalam keadaan sekarang menerusi beberapa titah telah dikeluarkan, Baginda pula yang bertindak menasihati Jemaah Menteri tentang perkara yang perlu dilakukan.

“Dalam hal ini sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak. Perkara 40 (2) ada termaktub bahawa YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan beberapa fungsi,” katanya menerusi satu kenyataan media.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.