Ekonomi Tidak Menentu, Hargai ‘Frontliners’ Pembekal Makanan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kajian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) mendapati 93.8% daripada kira-kira 70,000 penghantar makanan merupakan golongan Bumiputera.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 80.1% daripada mereka adalah golongan muda Bumiputera berusia antara 18 hingga 30 tahun.

“Seperti saya pernah katakan penghantar makanan juga “frontliners”. Kita hargai mereka kerana sanggup mengambil risiko untuk mengambil dan menghantar makanan untuk kita.

“Bagaimanapun hasil kajian TERAJU juga mendapati antara faktor ramai Bumiputera menjadi penghantar makanan kerana hilang punca pendapatan disebabkan PKP,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi faktor lain disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu dan demi kelangsungan hidup.

“Mungkin sebab itu banyak kita dengar cerita ramai golongan profesional berkhidmat sebagai penghantar makanan akibat hilang pekerjaan. Benar ada disebut faktor lain iaitu tidak perlu kelayakan tinggi dan waktu kerja fleksibel, tetapi pokoknya adalah demi kelangsungan hidup.

“Kepada abang, adik, kakak, penghantar makanan kita yang memang cenderung terhadap bidang ini kita doakan mereka terus maju dan cemerlang. Kepada yang terdesak akibat kehilangan pekerjaan dan pendapatan kita doakan mereka bertabah menghadapi dugaan dihadapi.

“Insha Allah apabila UMNO sebagai sebuah parti kembali menerajui Kerajaan Persekutuan kita perbaiki keadaan secepat mungkin. Teruskan berdoa, Allah sentiasa memakbulkan doa-doa hambaNya. Inshaa Allah,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.