20 Tahun Usia Penubuhan, Puteri UMNO Terus Kekal Utuh – Zahida

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata banyak cabaran dan dugaan dihadapi lebih-lebih lagi selepas UMNO hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu, namun Puteri terus kekal utuh seperti slogan UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

“Hari ini genaplah 20 tahun usia Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang ditubuhkan pada 3 Ogos 2001.Sesuai dengan gelaran sayap bongsu UMNO, penubuhannya bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai parti keramat ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Zahida seterusnya menambah walau masih muda, namun Pergerakan Puteri sentiasa dekat di hati rakyat, dan rakyat juga sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Walau masih muda, Puteri akan terus relevan di dalam kancah politik tanah air. Banyak cabaran dan dugaan dihadapi lebih-lebih lagi selepas UMNO hilang kuasa pada PRU 14 lalu, namun Puteri terus kekal utuh seperti slogan UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

“Semoga pada usia 20 tahun ini dan akan datang Puteri akan berterusan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan isu-isu dan hak orang muda, terutamanya Wanita Muda di Malaysia.

“Selamat Menyambut Ulangtahun ke-20 tahun saya ucapkan kepada semua adik adik ahli Puteri yang saya sayangi, tidak kira di mana kalian berada,” ujarnya. – UMNO Online.