Fahami Institusi Raja Berperlembagaan… Peranan YDPA Berkaitan Darurat

1. Pada 31 Julai lepas, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, mempersoalkan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenaan dengan penamatan semua Ordinan Darurat.

2. Sebelum melihat dengan lebih mendalam, adalah penting untuk kita menegaskan punca kita berada dalam kekalutan ini. Adalah jelas daripada nada dan konteks Tan Sri SA Vigneswaran, beliau kelihatan lebih cenderung mempertahankan tindakan-tindakan kerajaan dan bukannya untuk mengangkat Perlembagaan sehingga tidak mengendahkan institusi Diraja. Ia sangat menyedihkan bagi seluruh rakyat Malaysia apabila pemimpin yang kita harapkan gagal untuk menegakkan kedudukan tertinggi negara dan telah menghina asas demokrasi negara ini. Malaysia sebagai negara berdaulat tidak seharusnya melupakan sejarah dan ketinggian institusi yang menjadi sumber kuasa negara ini semata-mata mahu mengambil hati mereka yang berkuasa.

3. Pertama, Presiden MIC beranggapan bahawa tindakan kerajaan membatalkan ordinan darurat sebelum waktunya adalah sesuatu yang berasas. Beliau berpendapat kerajaan sebenarnya mengambil pemahaman bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perkenan yang Darurat mestilah tidak diteruskan selepas 1 Ogos, secara tidak langsung Baginda berkenan untuk membatalkannya.

4. Walau bagaimanapun, hujah ini pincang dan tidak bernas. Di bawah Perlembagaan, hanya ada dua cara untuk menamatkan Proklamasi Darurat. Pertama, jika Yang di- Pertuan Agong membatalkannya. Kedua, melalui pembatalan yang dibuat melalui ketetapan oleh kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

5. Berdasarkan kenyataan tersebut, Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja telah mengeluarkan kenyataan bahawa “Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda”. Yang di-Pertuan Agong menekankan bahawa “Artikel 150 (2B) dibaca bersama dengan Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas akan kuasa baginda untuk menggubal dan membatalkan Ordinan”, yang mana tidak dilakukan dalam hal ini.

6. Kedudukan ini telah dihuraikan dalam kes The Cheng Poh lwn PP, di mana Privy Council memutuskan bahawa:
“Kuasa untuk membatalkan, walau bagaimana pun, seperti kuasa untuk menggubal proklamasi, adalah terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong, dan Perlembagaan tidak mensyaratkannya untuk dilakukan melalui sebarang instrumen rasmi”

7. Justeru, kerajaan sebenarnya telah membuat andaian semata-mata bahawa hanya kerana Yang di-Pertuan Agong berhasrat untuk tidak meneruskan Ordinan Darurat selepas 1 Ogos, maka ia juga bermaksud Baginda telah memberikan Perkenan Diraja untuk menamatkan semua Ordinan Darurat. Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Presiden MIC adalah tidak benar dan telah membelakangkan prosedur yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan sangat jelas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Undang-Undang telah mengelirukan Parlimen serta orang awam dan menimbulkan krisis perlembagaan.

8. Kedua, Tan Sri SA Vigneswaran berpandangan bahawa tiada keperluan untuk membahaskan Ordinan Darurat dan ia merupakan sesuatu yang bersifat “represents a setback towards rebuilding the stability of our nation”. Beliau seterusnya menyatakan bahawa persidangan khas Parlimen kali ini adalah bertujuan membahaskan Pelan Pemulihan Covid-19 dan isu-isu yang berkaitan dengan pandemik. Ini dengan jelas menunjukkan ketiadaan pemahaman yang jelas di pihak beliau berkenaan kesan ordinan darurat ke atas kehidupan rakyat. Ordinan tersebut mengandungi undang- undang yang memberi kesan secara terus ke atas kehidupan rakyat dan mempunyai peranan kritikal dalam pengurusan pandemik.

9. Tambahan pula, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Baginda YDPA berhubungan dengan pembukaan Parlimen, Baginda menggesa agar Parlimen dibenarkan untuk dibuka bagi membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Namun, agenda Persidangan Khas tersebut telah mengeluarkan usul untuk membahaskan Ordinan Darurat, yang bercanggah dengan perkenan Baginda YDPA dan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. Nampaknya Tan Sri SA Vigneswaran telah gagal memberi perhatian kepada kenyataan ini.

10. Ketiga, Tan Sri Vigneswaran bersandar kepada Perkara 40 (1A) yang menyatakan bahawa Baginda YDPA hendaklah bertindak mengikut, atau setelah mempertimbangkan nasihat, Kabinet dan Perdana Menteri. Presiden MIC turut menyatakan bahawa kita kini berhadapan situasi di mana YDPA yang menasihati Kabinet tentang apa yang perlu dilakukan.

11. Adalah jelas bahawa Tan Sri SA Vigneswaran gagal memahami bahawa tindakan Kerajaan telah menyebabkan berlakunya krisis Perlembagaan, dan merupakan satu keingkaran terhadap titah YDPA. Sekalipun Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa YDPA hendaklah bertindak atas nasihat atau setelah mempertimbangkan nasihat Kabinet atau Perdana Menteri, YDPA masih mempunyai kuasa budi bicara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 (2B) yang dibaca bersama Perkara 150(3) berhubung perkara-perkara-perkara berkaitan pengisytiharan dan pembatalan darurat.

12. Kita mengakui bahawa senarai Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen disediakan oleh pihak kerajaan dan bukannya institusi istana. Namun, Presiden MIC gagal untuk mengambil maklum bahawa peranan YDPA di bawah Perkara 150 (2B) dan (3) adalah jelas. Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menyaksikan YDPA sebagai Ketua Negara. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, YDPA mempunyai peranan untuk mengukuhkan keabsahan demokrasi di dalam negara dan titah baginda mesti dijunjung.

13. Benar ungkapan Tan Sr SA Vigneswaran bahawa kita sedang “indeed treading on uncharted waters”. Oleh yang demikian, Presiden MIC harus turut memahami bahawa kita sedang berhadapan dengan krisis perlembagaan. Isunya sekarang adalah tentang tindakan seorang menteri yang mengelirukan Parlimen dan masyarakat awam. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, dan tiada pihak yang boleh mengatasinya. Sebagai sebuah negara, kita mesti menghormati peranan dan fungsi YDPA, dan membiarkan pihak yang gagal memahami perkara ini adalah satu tindakan membuka jalan yang mengancam institusi Raja Berperlembagaan.


Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.